RESENSI BUKU : DIALEKTIKA, karangan Azman Hussin

l Ulasan Buku: Dialetika oleh Azman Hussin. l

Buku ini menyajikan kepada penonton mengenai isu-isu sosiekonomi dan politik dalam negara. Penulis cuba menggarap kaedah penyampaiannya dalam bentuk dialog-dialog antara seorang filasuf dan rakyat. Filasuf yang dimaksudkan ialah ahli fikir Yunani kuno iaitu Socrates. Watak filasuf ini menggambarkan bahawa kepentingan ahli intelektual dalam merungkai permasalahan negara dan memberikan solusi-solusinya kepada rakyat. 

Buku ini terbahagi kepada 100 bab. 98 Bab ialah dialog antara Socrates dan rakyat (termasuk segelintir wakil pembangkang) manakala 2 bab lagi ialah cerpen  mengenai pemuda yang bergelut dengan isu kaum Melayu dan Islam. Melalui pengamatan saya, bahasa yang digunakan oleh penulis mudah dibaca oleh pembaca dan mempunyai beberapa perbendaharaan kata yang jarang digunakan dalam penulisan biasa. Buku ini merupakan sebuah tulisan separa akademik kerana menarik minat pembaca untuk berfikir dan mengulas tanggapan penulis mengenai watak Socrates. Menariknya, tiada satu bab pun dalam buku ini yang berkisarkan dialog antara Socrates dan pihak pemerintah, walhal itu adalah antara peranan ahli cendiakawan untuk memperbaiki sistem pentadbiran negara dari semasa ke semasa.

Saya mulai tertarik dengan beberapa bab dalam buku ini yang membicarakan penggulingan kerajaan (dikupas meluas dalam beberapa bab) oleh Socrates (penulis) dan watak rakyat yang turut menggunakan istilah “mengguling kerajaan”. Sebagai seorang insan yang terpelajar lagi merdeka fikirannya, kita wajar membezakan antara kerajaan dan parti yang memerintah pentadbiran negara sebagai sebuah kerajaan. Istilah yang lebih tepat ialah menukar kepemimpinan negara dan parti yang menerajui pemerintahan negara. Maaf, bagi saya istilah mengguling kerajaan akan mendatangkan reaksi-reaksi negatif dari pelbagai pihak. Pembaca (pro kerajaan, atas pagar dan pembangkang) harus mengerti makna sebenar proses demokrasi untuk memahami isu-isu politik dalam negara kita. 

Dalam bab ‘Ajaran Baru”, penulis seolah-olah meremehkan usaha-usaha ulama yang cuba membawa pembaharuan dalam Islam dengan meninggalkan segala amalan yang tidak dilaksanakan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan golongan Salaf. Penulis hanya menyatakan bahawa beberapa amalan yang tidak asli dalam Islam pada hari ini telah dihalalkan oleh ulama-ulama dahulu tanpa bukti yang sahih. Masyarakat perlu cakna dengan perbezaan ajaran Islam yang sebenar dengan yang palsu supaya pegangan akidah kita selari dengan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.   

Akhir sekali, dua buah cerpen dalam Bab 99 dan 100 memaparkan pemuda yang menginginkan kebebasan suara dan keadilan dalam negara. Penulis cuba memperlihatkan kesan-kesan yang akan berlaku sekiranya kebebasan diberikan tanpa kawalan. Ya, kebebasan perlu dikawal oleh pemerintahan. Namun begitu, kebebasan hendaklah menurut takrifan yang adil dan tidak terlalu membela pemerintahan apabila berlaku ketirisan dalam negara. Rakyat juga harus membezakan pengertian bebas dan waras. Sekiranya kita terlalu bebas, sudah tentu berlaku ketidakseimbangan dalam politik, ekonomi dan sosial seperti pemimpin tidak lagi dihormati walaupun adil, pulangan ekonomi yang tidak stabil dalam negara dan gejala sosial (LGBT).

P/S : Saya percaya jika pembangkang menguasai Putrajaya dalam beberapa tahun akan datang, maka jelmaan Socrates versi mereka akan memunculkan diri bagi membela tindakan-tindakan walaupun ternyata mempunyai ketirisan. Usah dikatakan Putrajaya, Socrates seperti ini sudah pun wujud secara sembunyi di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang. Para pembaca sekalian diseru agar waras memilih Socrates yang berani berhadapan dengan pemerintah, pembangkang dan rakyat. Socrates seperti inilah yang dikatakan pemikir rakyat dan tidak lari daripada tanggungjawab sosial dengan ilmu yang mereka miliki.

- Musafir Sejarah -

#BilisSinis
#ReviewBuku

Comments

Popular Posts