RESENSI BUKU : KALVARIA karangan Suwaibah Abdul Hadi

l Pembedahan Buku Bertulis : Ulasan Novel Kalvaria l

Novel Kalvaria merupakan salah satu novel popular yang dikarang oleh penulis muda iaitu Suwaibah Abdul Hadi. Novel ini mengandungi pelbagai persoalan pendidikan yang dilontarkan oleh penulis dan sangat meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri pembaca. Persoalan pendidikan yang digarap oleh penulis dapat dilihat menerusi watak utama dan watak sampingan. Sebagai penulis muda, gaya penyampaian pengarang agak santai supaya persoalan pendidikan yang ingin disampaikannya mudah diikuti oleh para pembaca. 

Kalvaria merupakan sebuah novel popular yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). Menariknya, Kalvaria diambil daripada perkataan Calvarium ataupun tempurung kepala (Suwaibah Abdul Hadi: 2018). Ia membawa maksud kepada pelindung yang memayungi segala yang berada di dalamnya. Tajuk ini dikiaskan kepada watak Muni Qazrina yang dilihat sanggup melindungi insan di sekeliling walaupun terpaksa mengorbankan perasaan sendiri. Novel ini sarat dengan persoalan pendidikan, kesihatan, kekeluargaan dan keagamaan. Penulis novel ini juga menggunakan gaya penulisan yang santai. Tambahan pula, seperti majoriti novel popular yang lain, novel Kalvaria juga turut mengetengahkan isu cinta dalam kalangan watak utama untuk menarik minat pembaca.  Walaupun novel popular tidak mengandungi pemikiran yang idealistik seperti novel serius, novel popular seperti Kalvaria menyajikan sedikit kelainan dengan memasukkan beberapa info penting mengenai info kesihatan secara agak mendalam. Justeru, walaupun tema cinta diangkat jelas dalam novel ini, tetapi beberapa sudut persoalan yang dibangkitkan oleh penulis tampak membezakan novel ini dengan beberapa novel popular yang hangat di pasaran pada masa kini. Tuntasnya, Kalvaria boleh mendatangkan impak yang positif kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya pembaca muda. 

Secara ringkasannya novel ini mengisahkan Cikgu Muni Qazrina yang merupakan watak utama dalam novel Kalvaria. Pada permulaan novel, dia cuba untuk menganjurkan program motivasi untuk menaikkan semangat pelajar serta memperbaiki akhlak mereka. Sebagai Guru Kaunseling, dia dibantu oleh beberapa guru yang lain seperti cikgu Afifi Mokhtar, cikgu Hang Tuah, cikgu Habibah dan cikgu Belinda Lim. Namun begitu, program motivasi cikgu Muni Qazrina mendapat tentangan segelintir guru senior yang menganggap program tersebut tidak akan mengubah sikap dan nasib pelajar sekolah SMK Seri Selasih. Namun begitu, program tersebut akhirnya diikuti secara berperingkat dan akhirnya mula diterima oleh semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  

Masalah sosial yang kerap berlaku di asrama SMK Seri Selasih telah menjadi tanggungjawab Muni Qazrina untuk diselesaikan bersama barisan guru dan warden yang bertugas. Muni Qazrina tekad untuk membantu para pelajar untuk menjadi insan yang berjaya dalam bidang akademik dan memperbaiki sikap yang bobrok dalam hidup. Keputusan Muni Qazrina untuk meninggalkan kerjayanya sebagai seorang doktor untuk menjadi seorang guru, merupakan suatu azam baharu yang membara dalam dirinya untuk terus menjadi guru yang berdedikasi. Hemophobia atau fobia darah telah menyebabkan Muni Qazrina terpaksa meninggalkan cita-citanya sebagai seorang doktor. Dia mulai loya melihat darah dan nanah yang terdapat pada diri pesakit. Muni Qazrina terus meninggalkan kariernya sebagai doktor selepas kematian datuknya, Pak Musa. Hal ini demikian kerana  datuknya amat bertegas untuk melihat Muni Qazrina menjadi seorang doktor seperti ayah dan abangnya, Dr Ahmad dan Dr Khalil Zulhilmi. Ketegasan datuknya menyebabkan dia tetap meneruskan pengajian dalam bidang Perubatan walaupun sudah mulai menunjukkan tanda hemophobia di peringkat awal pengajian.

Muni Qazrina turut bertugas sebagai guru Biologi menggantikan guru lama. Atas keilmuannya sebagai doktor, Pengetua, cikgu Tengku Sabrina Ilyani telah memberikannya dua tugas dalam satu masa iaitu sebagai guru Kaunseling dan guru Biologi. Tugas ini agak berat dipikul olehnya kerana dia seorang guru  muda yang masih mentah. Cabarannya bermula apabila dia ditugaskan untuk menaikkan nama sekolah SMK Seri Selasih menjadi sekolah yang kompetitif di daerah Telipot, Terengganu. Pada masa yang sama, Muni Qazrina dilantik menjadi Guru Penasihat Puteri Islam setelah cikgu Ramlah diberikan cuti bersalin. Cikgu Habibah dan Ustaz Wajdi Solihin sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) sentiasa membantu Muni Qazrina menyesuaikan diri di sekolah. Lama-kelamaan, usaha progresif Muni Qazrina untuk membangkitkan semangat calon-calon SPM di SMK Seri Selasih semakin diminati oleh ramai tenaga pengajar yang sebelum ini agak tidak senada dengannnya. 

Perjalanan Muni Qazrina di SMK Seri Selasih agak getir dengan masalah sosial yang berlaku dalam kalangan pelajar. Kes pelajar bercinta, tidak solat dan ponteng sekolah telah menjadi satu tanggungjawab yang berat untuk dia selesaikan. Watak pelajar sekolah seperti Ammar Safri, Adibah Alawiyah, Vijay Krishnan, Luthi Hadi dan Radhi Ilman telah membangkitkan semangat Muni Qazrina untuk menjadi seorang guru yang berdedikasi. Dia ingin mereka semua berjaya menjadi pelajar yang cemerlang dalam SPM walaupun ada dalam kalangan mereka yang dihimpit masalah kewangan dan keluarga. Pelbagai program motivasi dan jati diri diadakan supaya mereka sedar akan tanggungjawab sebagai pelajar dan tidak leka dibuai masa. Muni Qazrina juga tidak pernah menghukum pelajar yang berbuat kesalahan tanpa sebarang usul periksa kerana dia inginkan pelajar tersebut belajar daripada kesilapan yang dilakukan. 

Perasaan cinta terhadap Muni Qazrina ditonjolkan dalam watak Najmi Haiqal, Ariffin, Kapten Johan Maarif. Mereka merupakan lelaki yang hadir dalam hati Muni Qazrina sepanjang pembacaan novel ini. Najmi Haiqal merupakan adik angkat Muni Qazrina sejak di sekolah menengah, Ariffin merupakan tunang yang diaturkan oleh ibunya, Puan Salbiah dan kapten Johan Maarif merupakan ayah kepada Adibah Alawiyah iaitu pelajar kepada Muni Qazrina. Cinta Ariffin ditolak kerana gayanya yang terlalu mendesak dan menolak adat masyarakat Melayu dan adat Timur sebelum pernikahan. Pertunangan mereka dibatalkan selepas Muni diterima masuk sebagai guru di sekolah SMK Seri Selasih. Tindakan Ariffin yang pecah amanah terhadap syarikat milik Puan Salbiah telah menyedarkan Puan Salbiah bahawa dia tidak sepatutnya mengaturkan kebahagiaan untuk anaknya seperti yang berlaku kepada kembar Muni Qazrina iaitu Mona Khairina. Cita-cita kakak kembarnya sebagai akauntan terpaksa diketepikan setelah berkahwin kerana suaminya tidak mengizinkannya berkerja dan hanya menyuruhnya menjaga anak-anak di rumah. Dia hampir menerima Kapten Johan Maarif sebagai peneman hidup. Bapa mithali kepada Adibah Alawiyah itu sudah lama hidup membujang setelah isterinya yang berwarganegara Eropah, Aldona membawa diri kerana diusir keluar oleh ibu mentua, Puan Seroja ketika Adibah Alawiyah berusia 5 tahun. Kapten Johan Maarif sanggup membawa Muni Qazrina, Adibah Alawiyah dan Puan Seroja bercuti ke Kanada untuk memikat hati Muni Qazrina. Tetapi, Muni Qazrina menolaknya kerana inginkan Aldona kembali menjadi ibu untuk Adibah Alawiyah dan menjadi seorang Muslim yang baik. Najmi Haiqal pula yang mulai minat kepada Muni Qazrina sejak zaman persekolahan lagi telah bersabar lama untuk menunggu hati Muni Qazrina terbuka untuk dirinya. Akhirnya, mereka disatukan setelah Muni Qazrina mula menyedari bahawa hanya Najmi Haiqal yang benar-benar ikhlas mencintainya. 

Novel yang bergenre popular ini bukan hanya menyentuh soal cinta sebagai tema utama tetapi turut menggarap persoalan kesihatan, kasih sayang dalam institusi kekeluargaan dan anjuran Islam dalam kehidupan seharian.
Akhir sekali, sebagai pembaca, pengulas dapat menyimpulkan bahawa penulisan puan Suwaibah Abdul Hadi amat dekat di hati pengulas kerana corak penceritaan novel ini dihidupkan dengan baik dan sangat hampir dengan liku-liku awal usia dewasa. Pengulas berharap agar puan Suwaibah dapat mengeluarkan sebuah novel baharu sebagai sambungan novel sulungnya ini.

#BookSurgeon
#PembedahanBukuBertulis
#AdliAzimat

Comments

Popular Posts