RESENSI BUKU : PEREMPUAN REBEL, karangan Syuhada Salleh

l Review Buku : Perempuan Rebel l 

Pembacaan yang tidak disengajakan membawa aku merenung sejenak isi kandungan buku yang menghimpunkan 14 cerpen ini. Ianya hadiah daripada seorang teman yang baru aku kenali dan berurusan baru-baru ini. Nama pengarang buku iaitu Syuhada Salleh tidak aku kenali sebenarnya. Hanya pernah mendengar dan mungkin pernah terlibat dengan suatu tugasan sebelum ini barangkali. 

Daripada tajuk buku ini, mesejnya jelas. ‘Perempuan Rebel’ adalah tumpuan penulisan. Tidak hairanlah cerpennya diletak di permulaan buku. Selesai aku membaca cerpen pertama itu, aku terus diajak membaca lagi dan lagi sehingga tamat. Sudah dinamakan cerpen, maka cerita yang disisip itu ternyata ringkas tetapi tidaklah kontang mesej yang cuba disampaikan. Antara isu yang disentuh termasuk isu budaya, isu kemelayuan dan mungkin sedikit unsur mempertahankan semangat kemerdekaan serta kekeluargaan. 

Antara perkara yang menambat pembacaan aku dalam buku ini termasuklah: 

1. Gaya bahasa yang mudah difahami dan disusun atur dengan indah. Kiasan yang diberikan untuk menggambarkan sesuatu keadaan atau hal mudah untuk aku hadam dan mesejnya jelas.  

2. Imej tumpu terhadap unsur budaya contohnya seperti wayang kulit, pemartabatan Bahasa Melayu dan pemberian inspirasi kepada ‘si bodoh’ amat menyuntik semangat dan jiwa pembaca. Maka terbuktilah bahawa yang perlu untuk membangkitkan jiwa itu bukan lautan kata-kata, akan tetapi cukup sepatah dua kata untuk menolong satu jiwa yang dihina untuk kembali mengangkat muka.  

3. Selitan puisi dalam cerpen yang pertama seolah memberi gambaran dan mesej yang lebih mendalam untuk dihayati pembaca. Puisi ini aku renung dan cuba digali maksudnya. Sekadar pemahaman aku, puisi itu cukup untuk menyampaikan mesej utama dalam cerpen Perempuan Rebel. 

Unsur negatif dalam buku ini pada pandangan aku : 

1. Seperti selalu, jika aku membeli buku ini berdasarkan tajuk luaran semata-mata, mungkin aku akan kecewa dengan tajuknya yang sebenarnya hanya merujuk kepada satu cerpen daripada keseluruhan 14 cerpen. Agakan aku bahawa mungkin buku ini hanya akan memperlihatkan watak-watak perempuan yang membawa perubahan atau revolusi mungkin tersasar jauh kerana itu bukan fokus dalam buku ini. Mungkin aku kurang memahami tujuan asal tajuk itu dipilih. Jika tajuk itu sekadar ingin mengajak orang membeli buku tersebut dan tidak menggambarkan keseluruhan buku, aku tidak bersetuju dan mungkin akan rasa tertipu. Tetapi buku ini dihadiahkan kepada aku, jadi, aku tidak mahu berleter panjang.  

2. Kalau sudah dinamakan cerpen, maka aku tidak dapat menjangkakan sesuatu yang panjang akan diceritakan dengan huraian yang lengkap. Untuk orang yang pertama kali membaca himpunan cerpen seperti aku, yang menjadi carian utama ialah mesej dan penceritaan selanjutnya bagi melengkapkan tanda tanya dalam minda aku selepas pembacaan. Malangnya, tiada huraian yang aku harapkan itu dalam buku ini.  

3. Dari aspek teknikalnya, mungkin aku tidak gemar dengan penggunaan perkataan ‘Dan’ di awal ayat dalam beberapa cerpen dalam buku ini. Terdapat juga ayat-ayat yang seolah-olah tergantung dan perlu diulang baca berkali-kali untuk mendapatkan gambaran mesej yang cuba disampaikan. 

Lukisan kulit hadapan buku yang menarik perhatian, ditambah pula dengan coretan cerpen-cerpen yang sarat dengan pengajaran membuatkan buku ini aku habiskan pembacaannya dalam masa yang singkat. Ternyata, kisah panjang berjela yang penuh perkara sia-sia dapat dikalahkan oleh cerita pendek kenit yang dipandang remeh padahal membawa mesej renungan mendalam. 

Tahniah Fufu Terbit dan tahniah juga buat Syuhada Salleh atas buku yang hebat ini! 

#BilisSinis
#ReviewBuku

Comments

Popular Posts