RESENSI BUKU : MEMBUNUH MUHAMMAD, karangan Hilal Asyraf

l RESENSI BUKU : MEMBUNUH MUHAMMAD, karangan Hilal Asyraf l

Imaginasi luar biasa. 3 perkataan ini cukup untuk menggambarkan latar belakang dan pengembaraan yang ditawarkan dalam buku Membunuh Muhammad karangan Hilal Asyraf ini. Buku terakhir dalam susunan Saga HERO secara tidak langsung menamatkan siri 5 novel ini, walaupun dalam keadaan yang masih tergantung. Novel bertemakan kerjasama antara 4 watak utama dalam 4 novel sebelum ini iaitu HERO, Pemburu, Surihati Encik Pembunuh dan Samurai Melayu pada hemat aku tidak gagal mencipta debaran dan menyuntik persoalan kepada aku, selaku salah seorang pembaca karya Hilal Asyraf. 366 halaman buku ini berjaya melakar satu jalan cerita yang menarik, pada masa yang sama masih melontar beberapa isu berkenaan Tuhan dan kehebatan Malaysia yang aku fikir wajar dibincangkan dan diperhalusi sekadar kemampuan kita bersama.

ITQAN DARI TAUHID.

Ketelitian umat Islam yang agak dipersoalkan dalam realiti zaman kita sekarang, diangkat menjadi realiti dalam latar masa novel ini. Hal ini terbukti melalui pernyataan pada halaman 10 dalam dialog antara Direktor Yamashiro dengan Tengku Amiri,

“…Aku cukup kagum dengan keimanan engkau kepada Tuhan engkau, yang kemudian menghasilkan disiplin kerja teramat tinggi dan disegani. Hatta kami, bangsa Jepun, pun tabik hormat.”

Justeru melalui novel ini, penulis cuba memberikan gambaran Malaysia baru yang integriti dan itqan rakyatnya berpaksikan tauhid kepada Allah SWT berjaya mendapat pengiktirafan daripada negara orang yang bukan Islam. Tidaklah menjadi satu kejanggalan tema ini diangkat kerana penulis konsisten dalam menyatakan perubahan positif yang berlaku dalam kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia menatijahkan penghormatan dan pengiktirafan daripada pelbagai negara dan pihak luar.

GOD REALM DAN KONSEP MASA.

Pada halaman 19, disebutkan perkataan God Realm yang merujuk kepada satu ruang luar daripada masa yang secara realitinya tidak dapat dijangkau oleh mana-mana manusia sehingga hari ini, bahkan sehingga sekarang tidak terbukti bahawa manusia dapat merentas masa, sama ada ke masa hadapan atau patah balik ke zaman silam. Tetapi, novel ini membuka ruang untuk berlaku diskusi berkenaan perentasan masa. Konsep masa disebutkan pada beberapa tempat dalam novel ini antaranya pada halaman 31,32, 65 dan yang paling menarik, pada halaman 289.

“Mengikut teori, luar dari garisan ini merupakan ‘God Realm’ atau alam untuk Tuhan. Ia di luar realiti, tidak tercapai dengan kefahaman manusia.” (halaman 19)

“Masa seperti aliran air. Ia sentiasa mengalir ke hadapan. Kita mempunyai teknologi untuk melawan arus tersebut, tetapi hanya untuk kali pertama. Kemudian, Kiub akan mampu membawa kita ke hadapan sahaja. …” (halaman 289)

Persoalan berkenaan alam di mana Tuhan berada atau God Realm sedikit sebanyak menjentik inkuiri aku kerana perbahasan berkenaan Tuhan itu di mana pun adalah satu persoalan yang masih lagi menjadi perdebatan dalam kalangan agamawan dan cerdik pandai. Maka ianya menakjubkan aku apabila penulis memilih untuk memasukkan konsep yang agak abstrak ini dalam penulisannya. Jujur, pembacaan yang banyak perlu dilakukan untuk memahami konsep masa, cuma aku tertanya-tanya mengapa penulis begitu berani menyentuh persoalan yang masih belum jelas untuk dihuraikan dalam perjalanan novel fantasi ini. Namun penulis bijak apabila memasukkan konsep masa seperti pada halaman 289 untuk menjelaskan sekaligus menyempurnakan plot Membunuh Muhammad. Tanpa pernyataan ini, perjalanan 4 sekawan dalam menyelamatkan Rasulullah SAW daripada dibunuh Nobu dan konco-konconya akan terus berlaku dan tidak akan berhenti dilakukan. Kebijakan penulis dalam meletakkan had merentasi masa, menjadikan perkara yang sebenarnya mustahil dan belum terbukti secara saintifik ini berjaya dimanfaatkan pada masa yang sama, masih menghormati hakikat bahawa merentasi masa mustahil dilakukan pada zaman kita sekarang ini.

Seperkara lagi yang boleh diambil perhatian ialah usaha Nobu untuk melenyapkan Islam dengan membunuh Nabi Muhammad SAW di masa silam, antaranya jelas pada halaman 152,

‘Seterusnya, apabila Nobu berjaya melenyapkan dunia Islam, mereka akan menjadi yang paling berkuasa di bumi ini. Mengawal segala-galanya, kerana kuasa yang tidak terhingga sudah berada di tangan mereka.’

Tanpa Nobu sedari bahawa jika tiada ilmu yang terbina dan tersebar oleh dunia Islam, teknologi yang mereka banggakan itu tidak mungkin wujud. Maka, jika Islam lenyap, tidakkah teknologi mereka itu juga akan lenyap atau mungkin tidak akan sempurna? Tidak mungkin ada kiub merentas masa, tidak mungkin ada elemen baru dan pada masa yang sama, kekuasaan yang mereka cuba dapatkan melalui teknologi itu juga bakalan menjadi tidak begitu kuat dan tidak akan menjadi sebesar mana pun, jika tidak dengan Islam yang tersebar.

MERENTASI MASA, BUKTI TUHAN TIADA?

“Tuhan? Di manakah Tuhan? Tidakkah kalian lihat, kita telah pun merentasi masa. Jika wujudnya Tuhan, sudah pasti kita tidak akan berjaya melakukan hal ini. Tuhan tidak wujud!” (Halaman 143)

Pernyataan ini dilontarkan melalui watak Nobu pada beberapa tempat iaitu pada halaman 143 dan 211. Dalam keadaan yang lain, pada halaman 66, sebuah pernyataan telah digariskan oleh penulis.

“Menukar masa silam tak sepatutnya dibenarkan. Ada sebabnya mengapa Allah telah takdirkan apa yang berlaku itu berlaku.”

Maka pada hemat aku sebagai pembaca, kedua-dua pernyataan ini berperang antara satu sama lain. Pada satu sisi, merentas masa sepatutnya tidak dibenarkan kerana ianya akan merubah sejarah, sejajar dengan kesannya terhadap takdir Tuhan. Tetapi pada sisi yang lain, merentas masa telah berjaya dilakukan dan persoalan tentang kewujudan Tuhan itu ditidakkan oleh Nobu dan tidak dirungkai oleh mana-mana karakter dalam novel ini. Persoalan itu dibiarkan tergantung dan tidak dijawab sehingga cerita ini tamat. Tidaklah bermaksud aku ingin mengatakan bahawa penulis cuba mengelirukan pembaca tetapi persoalan yang dibiarkan tergantung ini apabila ianya adalah berkenaan dengan Tuhan, akan memberi kesan yang buruk jika pembaca mempunyai masalah kefahaman tentang Tuhan. Sungguhpun begitu, pada banyak tempat yang lain dalam 4 novel sebelum ini, penulis lagi dan lagi telah menjawab persoalan demi persoalan tentang ketuhanan.

Jika difikirkan dengan lebih mendalam, Tuhan mengizinkan sekumpulan manusia bertauhid dan tidak bertauhid dalam cerita ini untuk merentas masa, sekaligus membuktikan bahawa Tuhan tidak wujud. Tidakkah pernyataan ini sebuah paradoks dan mengelirukan? Tetapi, ternyata persoalan-persoalan ini masih berlegar pada ruang teori dan fiksyen, makanya aku tidak menyalahkan penulis. Tinggal lagi, mungkin kematangan pembaca dalam menilai dan merungkai persoalan ini amat penting supaya tidaklah disangka Tuhan itu tidak wujud jika suatu hari nanti manusia berjaya merentas masa.

LEGASI.

Pada halaman 39, persoalan berkenaan generasi pelapis diutarakan dalam perbincangan antara Bakri dengan Mus’ab. Makanya, jelas bahawa organisasi jahat seperti Ryuken dan Pemburu turut mengambil berat isu melatih wajah baru untuk meneruskan perjuangan. Legasi yang bakal ditinggalkan memerlukan penyambung perjuangan untuk membolehkan matlamat asal tercapai. Jika pihak yang memihak kebatilan sibuk melatih generasi baru, sepatutnya kita yang cuba memihak kebenaran lebih awal melakukan hal yang serupa, bahkan dengan usaha yang berlipat kali ganda. Walaupun aku berasa janggal kerana mengutip ibrah ini daripada kumpulan-kumpulan antagonis, tetapi pada pandangan aku, pengajaran ini wajar diambil oleh kita selaku pembaca.

KEMATIAN AMIRAH.

Jujur, Amirah iaitu isteri kepada Faisal merupakan antara watak yang aku kurang gemar secara peribadi dalam keseluruhan Saga HERO. Imej pertama yang hadir dalam imaginasi aku dalam novel Surihati Encik Pembunuh ialah Amirah ini merupakan seorang watak pendakwah wanita yang gedik. Mungkin pandangan aku ini agak dangkal tetapi begitulah ekspresi awal yang terbina dalam imaginasi aku. Justeru, apabila watak ini mati pada halaman 88 dan 89 membuatkan aku lega dan seakan-akan seronok. Tetapi, tanpa aku sedari, sebenarnya kematian Amirah ini memberi impak kepada keberlangsungan misi Inteligen Kerajaan Malaysia dan kesan yang lebih besar ialah kepada mental Faisal. Hal ini membuatkan Nobu lebih mudah memanipulasi emosi Faisal sekaligus membuatkan Faisal hilang kawalan dan mengamuk bahkan cuba menggunakan kiub masa untuk menyelamatkan isterinya daripada menemui ajal. Situasi genting ini yang tertulis bermula pada halaman 221 merupakan detik cemas untuk Bakri dan Mus’ab kerana mereka terpaksa menghadapi konflik dalaman yang merupakan perancangan jahat daripada watak antagonis utama iaitu Nobu. Maka, sebenarnya kematian Amirah membuatkan jalan cerita ini lebih menarik dan kematian watak ini sangat-sangat relevan.

SAMI’NA WA ATO’NA.

Frasa yang popular daripada bahagian akhir surah al-Baqarah ini dipopularkan lagi dalam novel ini pada halaman 115. Seiring membaca cerita ini sehingga tamat, aku harus akui, babak pada halaman 115 membuatkan bulu roma aku meremang. Ketaatan dan sikap optimis yang ditunjukkan oleh pemakai sut HERO yang lain untuk membantu menjayakan misi, membakar jiwa aku dengan semangat juang yang tinggi dan menjadi inspirasi kepada aku secara peribadi.

Pada masa yang sama, kepimpinan Afam dan Tengku Amiri, mencanak naik dalam misi mereka untuk membanteras Ryuken di Jepun. Afam dan Tengku Amiri yang sering kelihatan serasi, masing-masing menunjukkan keprihatinan kepada anak buah di bawah kelolaan masing-masing, iaitu pejuang-pejuang yang memakai sut HERO. Mereka berdua tidak semata-mata memberi arahan, tetapi berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir, dan rela berkorban nyawa sendiri demi menyempurnakan misi menyelamatkan negara dan agama Islam yang cuba dirobohkan oleh Ryuken.

SINGAPURA.

“Hari ini Singapura telah meninggalkan abang besar mereka, Amerika Syarikat, dan merayu agar diterima semula sebagai sebahagian daripada Malaysia.” (Halaman 195)

Membaca pernyataan ini antara lain menyedarkan aku bahawa aku berkongsi impian dengan penulis untuk melihat Singapura melutut meminta untuk diterima semula oleh Malaysia yang dahulunya mereka pandang rendah dan hinakan dalam beberapa tulisan yang dapat kita baca. Persepsi kemegahan negara mereka jika dibandingkan dengan kelemahan demi kelemahan yang terserlah oleh Malaysia pada pandangan mereka, telah terpadam pada waktu Islam secara total merubah suasana Malaysia secara keseluruhan. Menjadi impian aku supaya bukan sekadar Pulau Batu Putih tetapi keseluruhan Singapura dapat dikuasai semula oleh Malaysia kerana sememangnya tanah itu merupakan tanah kita sejak dari dahulu lagi.

DUA MUHAMMAD.

Tajuk buku ini iaitu Membunuh Muhammad rupanya bukanlah merujuk hanya kepada Nabi Muhammad SAW semata-mata. Hal ini jelas ditunjukkan pada halaman 249,

“Ya. Nobu membunuh Muhammad pada waktu silam. Kita membunuh Muhammad pada era ini.”

‘Muhammad pada era ini’ yang dimaksudkan ialah Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, yang bernama Muhammad. Betapa izzah yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Malaysia ini memberikan kegerunan kepada musuh-musuh Malaysia dan Islam pada ketika itu. Ketokohan Nabi Muhammad SAW yang tidak ada tolok bandingannya ingin dibunuh di zaman silam, pada masa yang sama ketokohan Perdana Menteri Malaysia cuba dilenyapkan, menunjukkan musuh pada ketika itu amat membenci Islam dan Malaysia sekaligus membuatkan tajuk buku ini meraikan masa silam dan masa hadapan kepada kita pembaca yang membacanya pada masa kini, alangkah indahnya tarian tiga ruang masa yang cuba dilakarkan oleh penulis!

BAHAGIAN PALING KONTROVERSI.

Pada bahagian akhir novel Samurai Melayu, penulis ada menyatakan bahawa beliau ada mendapatkan konsultasi daripada Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Dato’ Dr Zulkifli Muhammad al-Bakri berkenaan novel ini yang akan melibatkan watak Rasulullah SAW dan yang berbahagia Dato’ Mufti mengatakan tidak ada salahnya asal syarat dan adab ketika menulis itu dijaga dengan rapi. Ternyata, pada kebanyakan bahagian, penulis amat menjaga adab dengan watak Rasulullah SAW yang cuba diselamatkan daripada dibunuh oleh Nobu dan konco-konconya. Tinggal lagi, jika dapat dijelaskan apakah adab-adab dan syarat yang perlu dipatuhi itu? Hal ini kerana, pada halaman 325 dan 326, penulis memasukkan watak Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW datang menemui Faisal, Bakri dan Mus’ab menaiki seekor kuda. Persoalan yang bermain di minda aku sebaik sahaja membaca babak ini ialah adakah ianya dibenarkan dan tidak menyalahi syarak? Kegusaran ini bukan untuk menghina penulis, tinggal lagi hanya untuk menyatakan kerisauan aku andai kata cara penulisan melibatkan susuk tubuh Rasulullah SAW walaupun hanya pada alam fantasi dan fiksyen ini adalah salah di sisi agama. Aku meyakini bahawa terdapat penjelasan daripada sisi penulis, mungkin selepas membaca resensi ini, penulis akan memberikan respon sedikit sebanyak.

MASIH BELUM TAMAT.

Terdapat beberapa perkara yang aku anggap masih tergantung dan tiada penjelasan daripada buku ini. Antara perkara tersebut ialah kematian Nobu dan ke mana jasadnya menghilang selepas mati di sebuah ruang yang pelik pada dimensi masa. Selain itu, terdapat juga persoalan ke manakah Mus’ab, Bakri dan Faisal menghilang sebelum mereka kembali ke masa kini. Mungkin penulis mempunyai alasan yang tersendiri mengapa perkara-perkara yang aku bangkitkan ini terlihat seakan-akan tergantung.

Satu lagi bahagian yang aku lihat seperti tergantung ialah berkenaan Yuki iaitu salah seorang Korro yang masih lagi hidup dan masih lagi cuba merancang untuk menentang Islam. Tetapi situasinya berbeza di sini kerana hakikatnya sampai bila pun, kejahatan akan terus memerangi kebaikan. Makanya cerita yang dibiarkan tergantung di sini relevan dan mesej yang ingin disampaikan, dapat aku fahami.

PENUTUP.

Perlu aku akui bahawa Membunuh Muhammad merupakan sebuah novel karangan Hilal Asyraf yang kontroversi, futuristik dan mendebarkan dalam Saga HERO dan ternyata tarbiah dan elemen Islam itu tidak kekok untuk disesuaikan dengan zaman silam atau zaman kini mahupun masa hadapan. Mesej dasar Islam terpapar jelas melalui penulisan-penulisan Hilal Asyraf terutama melalui Saga HERO dan istimewanya melalui novel Membunuh Muhammad. Semoga lebih ramai Muhammad yang lahir pada zaman kini dan semoga ajaran Muhammad SAW tidak terbunuh dalam diri kita, umat baginda.

Semoga Allah rahmati penulis dan pembaca novel ini. 

Talhah Wasabi,
Salah Seorang Book Surgeon. 

#BookSurgeon
#ResensiBukuBertulis

Comments

Popular Posts