RESENSI BUKU : HIKAYAT SYAITAN GAGAP, karangan Talhah Wasabi

Hikayat Syaitan Gagap – Sekilas Pandang

Ini bukanlah satu artikel akademik yang boleh dijadikan rujukan dalam kalian melakukan sesuatu kajian dan perdebatan tetapi hanyalah satu coretan pandangan dari aku sendiri terhadap karya-karya yang telah dihasilkan oleh para kenalan. Ketika rokok digulung dalam genggaman tangan, aku akan melontarkan pandangan aku terhadap sebuah karya yang dihasilkan oleh Talhah Wasabi atau nama sebenar beliau Mohamed Rozaidy Bin Mohd Ameen yang bertajuk Hikayat Syaitan Gagap. Sebelum mengulas dengan lebih lanjut mengenai buku beliau, aku ingin mengucapkan syabas dan tahniah kerana beliau telah berjaya menerbitkan sebuah buku hasil daripada himpunan artikel-artikel yang dihasilkan sepanjang beliau menceburi bidang ulasan buku. Tempoh perkenalan aku dengan Rozaidy atau Pak Dy boleh dikatakan agak lama dan sering berlaku pertukaran idea antara kami jika berjumpa. 

Baik, berbalik kepada buku beliau, Hikayat Syaitan Gagap. Tajuk yang diberikan oleh beliau agak menarik dan mampu membuat mana-mana penggemar buku berhenti sejenak dan membelek bukunya untuk mengetahui kandungan penulisan tersebut. Rupa-rupanya beliau cuba menggambarkan keadaan dirinya yang agak tidak lancar dalam berkata-kata tapi masih cuba menegur perbuatan yang dirasakan tidak selari dengan pendirian beliau walaupun dikelilingi oleh kenalan-kenalan yang kuat tarbiah mereka namun hanya berdiam diri. Kalian akan dapat penjelasan lanjut mengenai perkara ini sepanjang pembacaan buku yang dimaksudkan. 

Secara jujurnya, aku menyangka buku ini bersifat fiksyen tetapi setelah buku ini sampai ke tangan, baru aku menyedari ini adalah sebuah buku yang menghimpunkan artikel-artikel penulisan beliau terhadap banyak perkara. Apa yang aku gemari akan kandungan buku ini adalah, artikel-artikel yang ditulis oleh beliau mengetengahkan isu-isu yang berlaku dan masih berlaku dalam kehidupan seharian seorang bekas mahasiswa dan pernah berkerja dalam sektor kerajaan khususnya bidang farmasi. Sebagai seorang bekas mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM), beliau pernah terjebak dalam beberapa gerakan mahasiswa dan persatuan yang lebih cenderung ke arah pembawaan Islam walaupun sebenarnya gerakan tersebut menjurus ke arah sebuah parti politik berteraskan Islam di Malaysia. Pengalaman beliau yang dinukilkan dalam artikelnya terasa dekat dengan aku kerana aku sendiri pernah berada dalam gerakan tersebut dan Pak Dy merupakan salah seorang pimpinan ketika aku dikaderkan. Walaupun ramai bekas ahli gerakan yang tidak bersetuju dengan metodologi gerakan itu, hanya Pak Dy seorang sahaja yang berani dalam menampilkan isu-isu yang berlaku sepanjang bergerak kerja dalam organisasi tersebut. Di samping itu, beliau turut membawa pembaca ke dalam dilemma dirinya tatkala menyertai persatuan yang masih lagi menganjurkan program-program yang tidak berfaedah dan bermanfaat dari sudut pandang beliau. Walaupun perkara ini sering terjadi ke atas mana-mana mahasiswa yang ingin melupuskan program-program seperti itu, namun isu yang diketengahkan oleh beliau masih lagi berterusan dan pada hemat aku program ini akan terus berterusan selagi mana matahari masih terbit dari sebelah timur. Mungkin dengan kesedaran-kesedaran secara sinis yang dibawakan oleh Pak Dy dalam penulisan sedikit sebanyak akan membantu mengurangkan program-program seperti itu. 
 Jika pembaca yang menggemari hasil coretan seperti ini akan beranggapan bahawa buku ini sebagai sebuah buku yang mengetengahkan isu-isu retorik yang dihadapi ketika zaman pelayaran ilmu di menara gading. Ya, secara jujurnya aku juga berpandangan sedemikian namun tidak semua isu yang dibawa oleh Pak Dy dilalui oleh bekas mahasiswa. Antara contoh yang aku dapat senaraikan adalah pengalaman beliau ketika belajar mengenai ilmu perubatan dan pengalaman beliau ketika menjadi ahli farmasi. Bagi aku, istilah-istilah yang digunakan merupakan perkara baharu bagi seseorang yang tidak bersenggama dengan perkara-perkara seperti kaedah perubatan, nama saintifik ubat-ubatan, pengalaman seorang ahli farmasi dan sebagainya. Jadi melalui buku ini, satu dimensi lain dapat dipelajari selaku seorang bekas mahasiswa. Jangan takut untuk belajar perkara baharu dalam hidup walaupun perkara tersebut tidak menyenangkan kita. Perkara-perkara seperti ini menjadikan buku Hikayat Syaitan Gagap sebagai satu buku yang lain sedikit daripada buku-buku yang kalian pernah khatami.

Sekali lagi, ketika rokok digulung di tangan. Apabila kita mendepani sesebuah buku atau karya, tidak semua perkara yang kita baca dan teroka akan bertepatan dengan selera serta nafsu serakah kita. Pasti akan ada beberapa perkara yang kita akan tidak bersetuju dan kritik sepanjang proses pembacaan berlaku dan buku ini tidak terkecuali. Bagi pendapat aku sendiri, Pak Dy perlu memperbanyakkan rujukan-rujukan beliau apabila berbicara mengenai sesuatu isu seperti isu politik Melayu, survival orang Melayu, sikap dan pemikiran orang Melayu serta sebagainya. Hal ini demikian kerana, dalam penulisan beliau aku hanya menjumpai beberapa rujukan seperti Za’ba dan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau mendepani isu-isu berkaitan masyarakat Melayu. Tambahan pula, beliau turut memetik beberapa petikan dalam buku tokoh-tokoh tersebut secara tidak penuh dan hal ini akan mendatangkan kekeliruan dalam kalangan pembaca berhubung teks serta konteks dalam membincangkan sesuatu isu. Perkara ini turut terjadi dalam beberapa artikel yang membincangkan mengenai isu agama, isu sufisme dan isu ekonomi. Dari sudut pandang aku sendiri, penambahbaikan yang dapat dilakukan selepas ini adalah, Pak Dy perlu memperbanyakkan lagi sumber-sumber rujukan dalam mendepani sesuatu isu. Tambahan lagi, petikan kata-kata yang hendak dimasukkan dalam penulisan perlu dimasukkan secara menyeluruh untuk mengelakkan kekeliruan dan kesalah fahaman dalam kalangan pembaca. Selain itu, sumber rujukan yang diambil perlu datang dari sumber-sumber yang boleh dipercayai dan dinilai sahih dari sudut keilmuan tokoh tersebut. Bukan aku hendak menidakkan sumber-sumber yang diambil di dalam buku ini tapi aku lebih cenderung untuk mengambil sumber rujukan dari tokoh dan buku yang diakui kredibilitnya. Walaupun begitu, aku harus memberi kredit kepada beliau kerana memasukkan sumber-sumber rujukan dalam penulisan beliau. 

Seterusnya, bagi pandangan aku, buku ini akan menjadi lebih menarik jika percampuran bahasa tidak diletakkan secara banyak dalam penulisan beliau. Mungkin ada di antara istilah-istilah itu sukar untuk ditemui dalam perbendaharaan kata Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris namun aku percaya kosa kata itu wujud dan sesuai digunakan. Aku tidak menafikan bahawa buku ini mengetengahkan konsep penulisan santai tetapi penggunaan tatabahasa harus dijaga ketika menulis dan itu pegangan aku sedari dahulu. Hal bahawa beliau tidak mempunyai latar belakang pengajian bahasa lanjutan tidak perlu dijadikan kayu ukur kerana apabila bermain dengan linguistik, perkara itu dapat dipelajari dengan mudah dan cepat. Justeru itu, hal ini perlu diambil perhatian dalam siri-siri penulisan akan datang.

Di samping itu, antara perkara yang boleh diambil perhatian adalah penyusunan tajuk artikel dalam buku ini. Bagi pandangan aku sendiri, tajuk-tajuk yang hendak disusun perlu menunjukkan kesinambungan antara satu sama lain. Sebagai contoh, tajuk pertama membicarakan mengenai zaman kampus. Tajuk-tajuk lain selepas itu perlu digalurkan dalam konteks zaman kampus dan isu-isunya sebelum disalurkan kepada skop perbincangan yang lain. Perkara ini akan memperlihatkan ketelitian dan kelicinan gagasan penulis dalam menyampaikan sesuatu. Tambahan pula, perkara ini akan memperlihatkan pemikiran penulis dalam menghayati sesuatu isu. Pemilihan tajuk untuk setiap artikel perlu dibuat dengan teliti dan tidak perlu menimbulkan persoalan yang banyak kepada khalayak pembaca. Mungkin penulis ingin menangkap perhatian pembaca dan perkara tersebut tidak salah namun mungkin boleh dikurangkan pada masa akan datang. Terus sahaja kepada tajuk dan gagasan isu yang ingin disampaikan. 

Akhir sekali, sebelum rokok habis disedut dan dihembus. Pak Dy perlu lebih berhati-hati dalam kesalahan ejaan dan penggunaan ayat dalam setiap penulisannya. Bagi sesetengah pihak perkara ini dapat dipandang enteng namun tidak bagi aku. Jika perkara ini dipandang enteng, tiada guna diwujudkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menyemak dan menilai sesebuah karya yang ingin diterbitkan. Aku juga percaya bahawa para penerbit bebas seperti Dubook Press, Thukul Cetak dan sebagainya turut mengambil berat mengenai perkara ini sehingga pernah menimbulkan polemik dalam kalangan penulis dan penerbit bebas (rujuk kes Muthalib Uthman). Selain itu, ketika dalam penulisan, tidak perlu menimbulkan persoalan secara terus dengan banyak kepada para pembaca dan adalah lebih baik jika beliau terus sahaja kepada isu yang ingin dibincangkan. Hal ini tidak terpakai dalam dunia penulisan prosa dan fiksyen, namun perkara ini terpakai jika hendak menghasilkan artikel atau penulisan akademik. 

Secara konklusinya, buku Hikayat Syaitan Gagap merupakan sebuah buku yang lebih cenderung kepada luahan isi hati seorang penulis terhadap isu-isu yang berlaku di sekitarnya. Penyampaiannya santai dengan bahasa yang mudah difahami bagi para pembaca yang baharu berjinak-jinak dalam mendalami dunia penulisan artikel. Segala pendapat aku mengenai isi kandungan buku ini hanyalah seperti isi Kitab Injil yang dapat dipertikai dan dipersoal serta boleh ditambah baik mutu pengadilannya. Diharap Pak Dy dapat mengeluarkan lagi idea-idea beliau terhadap isu-isu lain khususnya dalam bidang perubatan dan farmasi kerana di Malaysia kita kegersangan buku-buku ilmiah seperti itu. Akhir kalam, menjawab pertanyaan beliau di muka belakang buku ini, “Ayuh tentukan, adakah rungutan Syaitan Gagap ini relevan atau sudah basi dimamah zaman!” , aku berpendapat rungutan ini tidak akan basi selagi mana ayam jantan masih lagi berkokok kerana ianya akan sentiasa berulangan. 

~Tiada buku yang lebih sempurna daripada buku Pengkarya Yang Maha Agung.

#BookSurgeon
#UlasanHikayatSyaitanGagap
#BukanTW

Comments

Popular Posts