RESENSI BUKU : RENUNGAN SPIRITUAL, karangan Setia al-Haq

RESENSI BUKU BERTULIS : RENUNGAN SPIRITUAL, karangan Setia Al Haq.

Dihampiri oleh seorang kenalan di Facebook melalui halaman Book Surgeon, kenalan tersebut ingin meminta aku membedah atau membuat resensi berkenaan sebuah buku. Katanya buku ini 'rare' dan perlu dibaca dengan minda terbuka dan pada masa yang sama, aku diajak beberapa kali untuk bertemu dan berdiskusi dengan kumpulan mereka. Pada ajakan yang pertama, disebabkan faktor jarak yang jauh (kami di utara dan mereka ke arah selatan), perjumpaan itu tidak berlaku. Selepas selesai aku membaca buku setebal 313 halaman ini, sekali lagi ajakan untuk berdiskusi itu hadir, kali ini, melalui perbincangan video alam maya untuk menghormati perintah PKP di Malaysia. Sekali lagi, ajakan itu aku tolak dengan hujah masalah jaluran dan pautan komunikasi di rumahku yang terkadang, panggilan telefon biasa pun sudah terputus-putus, inikan pula panggilan video. Tambahan lagi, dalam panggilan video, risiko untuk salah faham itu, pada pendapat aku, akan lebih tinggi. Makanya aku memilih untuk menulis kritikan dengan harapan, kumpulan berkenaan dapat membaca kritikan ini. Sebelum aku mula menulis kritikan ini, aku sudah menyiapkan beberapa klip video resensi buku Renungan Spiritual ini, untuk disiarkan di halaman Book Surgeon dalam sedikit masa mendatang, insyaallah.

Menelusuri isu-isu yang dibangkitkan dalam buku Renungan Spiritual, beberapa persoalan fundamental perlu digariskan.

Persoalan-persoalan itu ialah:

1. Siapakah Setia al-Haq? Setakat pertanyaan aku kepada kenalan aku itu, yang mungkin mempunyai hubungan rapat dengan Setia al-Haq, kenalan itu hanya menjelaskan bahawa Setia al-Haq merupakan sekumpulan penulis yang diketuai oleh seseorang yang tidak bercakap mengikut hawa nafsu dan hanya ingin menegakkan din al-Islam. Persoalannya, siapakah dia? Adakah dia seorang manusia biasa seperti kita? Ataupun, bagi sesetengah pihak, beliau merupakan seorang wali Allah atau (mohon Allah jauhkan) beliau mendakwa diri sebagai individu-individu tertentu yang kudus? Inilah masalah yang timbul apabila nama penulis tidak dinyatakan dengan jelas. Tambahan lagi, latar belakang penulis, siapakah guru-gurunya dan mungkin, tidak kurang penting ialah latar belakang pendidikan penulis. Hal-hal yang aku nyatakan ini, penting untuk menilai kesahihan dan autoriti penulis dalam menyatakan hal-hal terkait hal din al-Islam kerana penulis tidak mengulas perkara-perkara picisan. Ulasan penulis terkait masalah akidah, dan perkara-perkara yang memerlukan ilmu alat yang cukup dan tahap penguasaan ilmu yang tinggi dan hal tersebut sepatutnya boleh disemak sama ada benar atau tidak.

2. Sumber rujukan yang digunakan oleh penulis dalam menulis buku ini secara keseluruhan. Ya, benar, penulis mendakwa bahawa gaya penafsiran al-Quran yang digunakan ialah tafsir ayat dengan ayat yang lain. Tetapi, tetap, penafsiran itu memerlukan sumber rujukan yang muktabar. Kalam Allah bukanlah sesuatu yang boleh ditafsirkan dengan sebegitu sahaja tanpa sebarang rujukan. Sungguhpun penulis mungkin menguasai bahasa Arab, tetapi tetap, tafsiran al-Quran perlu melalui kefahaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang mendampingi baginda.

3. Kenapa dalam 313 halaman buku yang ditulis ini, hanya satu hadith yang dipetik? Kenapa tidak diiringkan nukilan hadith selepas nukilan ayat al-Quran? Sedangkan di dalam al-Quran, surah an-Nisa’ (4) ayat 65, Allah SWT menyatakan bahawa manusia tidak beriman selagi tidak menjadikan Nabi SAW sebagai hakim dan menerima keputusan Nabi SAW tanpa bantahan, secara tidak langsung, mengiktiraf hadith Nabi SAW. Bahkan, penerimaan tanpa bantahan itu merupakan syarat kepada keimanan. Aku menimbulkan persoalan ini kerana penulis pada halaman 236 menyatakan bahawa renungan yang ditulis ini, murni jika dilihat dari al-Quran sahaja, bukan yang lainnya yang pada aku, tidak tepat kaedah seperti ini.

4. Apakah konteks penulisan buku ini? Ternyata buku ini dicetak pertama kali pada September 2015. Atas sebab apakah buku ini ditulis? Adakah ianya ditulis atas desakan mana-mana pihak atau atas kepentingan tertentu? Pada pandangan aku, konteks akan menjelaskan keadaan kerana buku ini bukan kitab suci yang sesuai sepanjang zaman tanpa boleh dipersoalkan kerelevanannya. Konteks sangat penting juga untuk mengelakkan salah faham dalam diri pembaca buku ini dengan keterdesakan penulis mewajibkan khilafah ditegakkan sebagai tema konsisten dalam buku ini sehingga tamat. Adakah konteksnya terletak pada halaman 144 terkait dengan kelompok nasionalis Indonesia, ideologi Pancasila, NKRI dan Negara Republik Indonesia? Mohon penjelasan.

Berikut merupakan perincian ringkas kritikan aku terhadap buku ini.

TAUHID.

Dalam berbicara berkenaan kemusyrikan, antara unsur yang ditekankan penulis ialah unsur Rububiyyah, Mulkiyyah dan Uluhiyyah. Aku tidak ada masalah dengan Rububiyyah dan Uluhiyyah jika penulis memaksudkan kedua-dua elemen itu sebagai elemen dalam mentauhidkan Allah. Tetapi, unsur Mulkiyyah yang disebut dalam buku ini bermula halaman 16, membawa kepada halaman 19 menjadi persoalan utama. Daripada manakah mulkiyyah itu diambil oleh penulis? Hal ini kerana, dalam pembelajaran tauhid yang kita biasa lalui, jika tidak kita mempelajari ilmu Sifat 20, kita akan mempelajari Tauhid 3 yang merangkumi Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma wa Sifat. Pernah aku rujuk kepada salah seorang guru aku, iaitu Ustaz Ismail Din, beliau menjelaskan di sana terdapat tauhid Hakimiyyah iaitu menerima dengan sepenuh hati tanpa berbelah-bahagi semua hukum-hukum yang termaktub dalam al-Quran. Tetapi, mulkiyyah yang membawa kepada kefahaman wajibnya khilafah, di manakan sumbernya? Salah seorang ustaz yang aku rujuk lagi memberitahu, terdapatnya perkaitan antara mulkiyyah ini dengan puak khawarij. Hal ini perlu dijelaskan oleh penulis buku kerana pemikiran khawarij amat bahaya dan ianya boleh membawa kepada salah faham yang lebih besar. Kita boleh merujuk kepada sirah nabi berkenaan puak khawarij ini dan ianya merupakan sebuah rentetan sirah yang mahsyur.

Pada halaman 9,12,13 dan 16, secara umum dapat difahami bahawa penulis cuba mengatakan bahawa jika kita duduk di bawah pemerintahan negara bangsa, kita sebenarnya sedang duduk di bawah kemusyrikan. 

“Model kehidupan bangsa dan bernegara (dimana salah satu unsur dasarnya ialah undang-undang) yang dibangun oleh sistem pluralis yang berpartai-partai atau bergolongan-golongan ini sesungguhnya adalah bentuk dari kemusyrikan itu sendiri.” (Halaman 12)

“Sekarang, lihat sekeliling anda! Jika anda hidup dalam lingkungan yang demikian, berarti anda sedang hidup dalam kehidupan musyrik. Jika anda meyakini dan menjalani model kehidupan seperti di atas, berarti anda sedang berbuat syirik atau menjadi seorang musyrik.” (Halaman 13)

Di sini, aku ingin meminta penjelasan berkenaan takrif musyrik itu, dimanakan sumbernya? Dan adakah di sana terdapat kebenaran daripada Allah atau Rasulullah SAW untuk kita melulu mengatakan semua negara bangsa itu memang dasarnya pluralisme dan mereka itu musyrik, termasuk rakyat yang berada di bawah pemerintahan itu?

Seperkara lagi yang perlu ditakrifkan oleh penulis ialah definisi negara bangsa. Adakah yang dimaksudkan negara yang dibina pemerintahan berdasarkan bangsa yang berada di sesebuah negara itu, ialah negara bangsa? Atau, adakah sebenarnya yang dikatakan negara bangsa yang musyrik itu ialah negara yang menafikan hak bangsa lain dan hanya melihat bangsa sendiri sebagai yang terunggul itu ialah negara bangsa yang dikritik penulis? Kerana jika dilihat pada surah al-Hujurat (49) ayat 13, Allah taala memberitahu bahawa sesungguhnya manusia dicipta berbangsa dan bersuku kaum. Maka, tanggungjawab terletak kepada Setia al-Haq untuk memberikan definisi yang lebih jelas.

Pada halaman 127, penulis menulis pernyataan berikut:

“Bukankah Allah meminta manusia untuk menghambakan diri atau mengabdi (tunduk patuh) kepada-Nya, bukan untuk menyembah-Nya?”

Pernyataan ini boleh disanggah dengan menonton sebuah video tafsir al-Quran oleh Ustaz Nouman Ali Khan  yang membincangkan huraian lanjut Ayatul Kursi. Dalam video tersebut, Ustaz Nouman Ali Khan menjelaskan keterangkuman maksud perkataan ‘Ilah’ yang merangkumi makna ‘worship’ atau penyembahan. Makanya, tidak dapat tidak, penyembahan adalah terangkum dalam arahan Allah SWT kepada kita, umat Islam.

Di dalam buku Akhlaqul Karimah, karya Prof. Dr. Hamka, disebutkan berkenaan tujuan hidup manusia berdasarkan dalil yang sama dengan penulis Renungan Spiritual iaitu surah adz-Dzaariyat (51), ayat 56. Ternyata, Prof Dr Hamka atau seorang yang terkenal dengan jolokan ‘Imam Taimiyyah Nusantara’ ini, menyatakan seperti berikut:

“Dengan ayat ini Allah SWT menegaskan bahwa maksud menciptakan kehidupan itu digunakan manusia untuk mengabdi atau untuk beribadah. Tempat beribadah atau mengabdi itu hanya semata-mata kepada Allah SWT saja.” (Halaman 226)

Perincian tentang ibadah selepas halaman 226 daripada buku Akhlaqul Karimah ini dilanjutkan dengan penghuraian berkenaan solat dan amal soleh. Bukankah solat itu merupakan bentuk ibadah kepada Allah SWT? Tidak dinafikan, Setia al Haq mungkin ingin menegur sikap pengamal agama yang dilihat terlalu tenggelam dalam ‘ritual’ semata-mata, tetapi jangan diasingkan penyembahan kepada Allah dalam bentuk solat dan ibadat-ibadat lainnya, hanya semata-mata ingin menegur kesilapan pengamal agama zaman sekarang.

Dalam membicarakan berkenaan mukjizat, Setia al-Haq mengatakan bahawa mukjizat merupakan sebuah doktrin.

“Lagi-lagi para ahli agama akan berlindung di balik doktrin ‘mukjizat’ pada Nabi dan Rasul Allah.’ (Halaman 205)

“Selain itu, segala perbuatan para Nabi dan Rasul Allah yang diyakini sebagai perbuatan ‘mukjizat’ adalah sesuatu yang bertentangan dengan logika dan dengan hukum Allah yang ada di alam (hukum alam). Bagaimana mungkin Dia mengkhianati hukum-Nya sendiri?” (Halaman 206)

Sudah semestinya mukjizat itu merupakan sesuatu yang bercanggah dengan logik biasa manusia kerana itulah bukti kenabian dan kerasulan seorang utusan Allah. Jika mukjizat tidak diturunkan pada waktu itu, makanya kenabian dan kerasulan utusan Allah boleh dipertikaikan. Bahkan, jika kita lihat, al-Quran sendiri merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, jika Setia al Haq menafikan mukjizat dan mengatakan ianya hanya doktrin spiritual semata-mata, maka adakah Setia al Haq menafikan al-Quran yang dengannya mereka berhujah? Dakwaan demi dakwaan Setia al Haq semakin lama dibaca dari lembaran ke lembaran semakin menunjukkan kepincangan. 

TAFSIR BIAS.

Halaman 236 menyaksikan kritikan Setia al Haq kepada konsep syurga. Kritikan ini jika dilihat dengan lebih dekat, sebenarnya membawa kepada penafian kepada sebahagian daripada konsep hari akhirat yang termaktub dalam rukun Iman.

“…Manusia akan masuk dalam alam akhirat yang hanya menyediakan dua tempat, surga dan neraka. Sesungguhnya kedua pemahaman tersebut tidak berasal dari Kitab al-Quran, tetapi berasal dari cerita-cerita Israeliyat dan cerita agama kuno seperti agama pagan yang menyembah dewa-dewi dan unsur-unsur alam, seperti matahari, bulan, bintang, dan yang lainnya.”

Seterusnya, pada halaman 238, penulis meneruskan kritikannya dengan menambah:

“Surga yang berada di atas langit yang sulit ditemukan letaknya meski anda menaiki pesawat ruang angkasa sekalipun.”

“Jika surga yang dahulu ditempati oleh Adam dan Iblis itu ada, di mana letaknya pada alam semesta ini? Tidak ada yang bisa menjelaskannya.”

Apa yang lucu disini ialah penulis menghasilkan buku “Renungan Spiritual” tetapi merobohkan fundamental spiritual dalam Islam, sebelum cuba mencari keberadaan syurga yang material di alam semesta ini. Sepatutnya kita sama-sama menginsafi bahawa din al-Islam ini membawa perkara-perkara ghaib yang wajib kita imani sesuai dengan penceritaan daripada al-Quran dan Hadith sahih daripada Nabi SAW, bukannya semata-mata cuba mencari lokasi perkara ghaib itu di dunia nyata. Seharusnya kita lebih beriman dengan perkara ghaib jika benar-benar renungan spiritual dijalankan dalam diri, bukan semakin menafikan.

Kekeliruan dilihat dalam penulisan penulis apabila pada halaman 248, penulis menyatakan:

“Bagi penulis, kehidupan di kemudian hari itu ada dan wajib kita imani.”

Maka, apa masalah penulis dengan syurga dan neraka pada halaman-halaman awal sebelum halaman 248? Tidakkah ayat-ayat al-Quran dan hadith Nabi Muhammad SAW yang sahih telah menjelaskan tentang syurga dan neraka itu dengan terang lagi bersuluh?

Maka pada saat ini, aku menyedari bahawa barah yang dihidapi penulis bertitik tolak daripada sikap penulis dan rakan-rakannya yang memutasyabihatkan ayat-ayat Allah yang muhkamat. Ayat-ayat al-Quran yang sudah jelas dan terang, ditakwilkan dan dihuraikan dengan kefahaman lain yang disesuaikan dengan mentaliti kumpulan penulis untuk menyokong konsep Mulkiyyah dan mewajibkan khilafah ditegakkan. Makanya, kebanyakan tafsiran ayat al-Quran yang disebutkan dalam buku ini, menjurus ke arah konsep Mulkiyyah dan wajibnya khilafah. Bukankah ini satu kaedah menafsirkan al-Quran dengan bias dan berkepentingan?

Di sini aku senaraikan antara contoh penafsiran ayat al-Quran yang mungkin dilakukan sesedap rasa oleh penulis, tanpa diberikan sebarang rujukan untuk menyokong tafsiran tersebut di dalam buku ini.

1. Tafsiran sirathal mustaqim yang dikaitkan dengan Millah Ibrahim, tetapi disangkutkan dengan khilafah.

“Dengan demikian, semakin jelaslah bagi kita apa yang dimaksud dengan ‘jalan yang lurus’ itu. Shiratal mustaqim itu adalah Millah Ibrahim, yakni Jalan Kebenaran Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang menjadi konsep dan jalan hidup atau sistem hidup para Nabi dan Rasul Allah dalam memperjuangkan tegaknya sistem hukum yang benar dalam suatu Khilafah (kekuasaan) Allah demi terwujudnya kedamaian dan kesejahteraan hidup ummat manusia di muka bumi.” (Halaman 58)

Sedangkan, sebenarnya agama nabi Ibrahim (Millah Ibrahim) itu menitikberatkan tauhid kepada Allah, dan sistem khilafah ialah pilihan, bukannya kewajipan.

2. Pada halaman 245 dan 246, penulis sekali lagi mengatakan bahawa syurga dan neraka hanyalah alegori dan penjelasan yang sebenar tentang syurga dan neraka ialah:

“Tatanan kehidupan manusia di dunia yang penuh dengan keharmonisan, keadilan, kedamaian, dan kesejahteraan inilah yang disebut dengan kehidupan jannah, lawan dari kehidupan nar (neraka) yang penuh dengan kesemrawutan, kezaliman, permusuhan, dan ketimpangan. Kehidupan surgawi (jannah) itulah yang dijanjikan oleh Allah bagi mereka yang beriman dan beramal saleh, dan itu semua adanya di dunia ini.”

Jika benar dakwaan itu, bagaimana pula dengan ayat al-Quran yang mengatakan bahawa terdapat manusia yang dihumban ke neraka dan kekal di dalamnya? Bagaimana pula dengan ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa pintu syurga itu sentiasa terbuka dan pintu neraka hanya dibuka apabila ahli neraka itu ditolak-tolak dengan segera untuk ke neraka? Kenapa menakwil ayat yang sudah jelas?

Rujukan : al-Quran, surah Fussilat (41:28), surah Sad (38:50), surah az-Zumar (39:71 dan 73).

3. Pada halaman 224, 228 dan 229, tidak putus-putus penulis mengatakan bahawa Syaitan itu merupakan perumpamaan kepada manusia yang jahat.

“Sehingga, yang dimaksud setan itu adalah manusia juga, yakni manusia yang memiliki pemikiran atau kesadaran jahat yang najis (musyrik). (Halaman 224)

“Pada ayat 257 dijelaskan, bahwa ‘taghut’ adalah pemimpin atau pelindung dari orang-orang kafir seperti Fir’aun, Herodes dan Abu Jahal. Mereka itulah yang disebut thaghut atau setan, manusia yang kasar bukan makhluk halus.” (Halaman 230)

Maka jika benar dakwaan itu, bagaimana pula dengan ayat al-Quran pada surah al-A’raf (7) ayat 27 yang mengatakan bahawa syaitan melihat manusia dari tempat yang manusia tidak melihat mereka? Bagaimana pula dengan ayat al-Quran dari surah al-Kahfi (18) ayat 50 yang mengatakan bahawa Iblis itu adalah daripada jin?

4. Buku ini menyatakan pada halaman 288 dan 289 bahawa Nabi Isa a.s. mati dalam makna yang sebenarnya, bukannya diangkat ke langit oleh Allah. Hal ini terbatal dengan sendirinya dengan ayat al-Quran dari surah an-nisa’ (4) ayat 157.

Setelah membaca buku ini sehingga tamat dan mengamati tafsiran-tafsiran janggal yang dikemukakan oleh penulis, terutama dalam hal berkaitkan dengan ayat-ayat yang jelas di dalam al-Quran tetapi dikatakan sebagai alegori, aku semakin faham dengan firman ayat al-Quran dari surah Ali-Imran (3) ayat 7.

“Dialah yang menurunkan Kitab (al-Quran) kepadamu (Muhammad). Di antaranya ada ayat-ayat yang muhkamat, itulah pokok-pokok Kitab (al-Quran) dan yang lain mutasyabihat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong pada kesesatan, mereka mengikuti yang mutasyabihat untuk mencari-cari fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya kecuali Allah. Dan orang-orang yang ilmunya mendalam berkata, “Kami beriman kepadanya (al-Quran), semuanya dari sisi Tuhan kami.” Tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang yang berakal.”

Itulah serba ringkas kritikan aku terhadap buku ini. Pujian perlu diberikan kepada penulis yang tidak menulis perkataan kesat walaupun sepatah dalam keseluruhan penulisan buku ini. 

Perkara yang lebih penting di sini ialah perlunya Setia al Haq menjawab kritikan-kritikan aku di atas untuk menjelaskan kesalahfahaman yang mungkin berpunca dari diri aku yang jahil. Pada masa yang sama, mereka perlu bertanggungjawab dan membuat pembetulan jika nyata, kesalahan berada di pihak mereka.

Aku melihat terdapat kepentingan tertentu yang tersembunyi di sebalik penulisan buku ini yang berpaksi kepada:

1. Mulkiyyah.
2. Wajib Khilafah.
3. Penafian mukjizat.
4. Syurga, Neraka, Syaitan dan Malaikat hanya alegori.
5. Tujuan utama setiap rasul diutus ialah untuk menegakkan khilafah.
6. Setiap Nabi dan Rasul ialah khalifah pemerintahan.
7. Hanya Nabi yang boleh tegakkan khilafah sekarang ini. (Pelik, kerana Nabi Muhammad SAW ialah rasul terakhir, Nabi manakah yang akan diangkat, sedangkan mukjizat sudah dikatakan doktrin?)
8. Ramalan tahun 2024 akan roboh khilafah musyrik sekarang (pada pandangan penulis).

Cukuplah kelapan-lapan hal ini akan menimbulkan manusia-manusia yang akan mendakwa perkara mustahil, tanpa mampu membuktikan bahawa mereka benar.

Maka aku harap, sesiapa sahaja yang membaca buku ini, rujuklah kembali dengan Al-Quran dan Hadith Nabi SAW yang sahih, untuk mendapatkan bimbingan yang benar dan lurus.

Moga Allah memberi hidayah dan taufiq kepada kita semua. Ameen.

Talhah Wasabi.
Salah Seorang Book Surgeon.

#BookSurgeon
#RenunganSpiritual

Comments

Post a Comment

Popular Posts